Tumpuan :
Dunia

Belum ada jangka masa khusus hantar rakyat Palestin di Malaysia pulang ke Gaza

KUALA LUMPUR: Biarpun perjanjian gencatan senjata antara Hamas dengan Israel sudah berkuat kuasa, Ahad lalu, namun belum ada jangka masa khusus ditetapkan bagi urusan penghantaran pulang 41 rakyat Palestin yang dirawat di Malaysia bersama 86 waris mereka.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, ini kerana pihak kedutaan masih menunggu maklum balas Kementerian Pertahanan (MINDEF) selepas nota diplomatik dikemukakan, baru-baru ini.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali. – FOTO FAIL NSTP

“Kita berharap akan mendapat penjelasan mengenai tindakan seterusnya, namun setakat ini, tiada maklumat konkrit mengenai bila rakyat Palestin berkenaan akan dapat pulang ke tanah air mereka,” katanya.

Beliau berkata, pegawai kedutaan aktif memberikan sokongan walaupun pihak kedutaan tidak terbabit secara langsung dalam urusan dua hala antara pihak berkuasa Mesir dengan Malaysia untuk membawa rakyat Palestin ke negara ini.

“Sejak mereka tiba, kami memudahkan urusan berhubung dokumen diperlukan untuk mangsa yang cedera dan waris, selain membuat penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penjagaan mereka,” katanya.

Walid berkata, kebanyakan rakyat Palestin yang dirawat di negara ini bersedia untuk dihantar pulang, selain menyuarakan rasa kurang selesa akibat kelewatan proses berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada juga dalam kalangan mereka yang berhasrat meneruskan rawatan di negara ini hingga Gaza kembali aman.

“Kami adalah tetamu di negara ini dan perlu menghormati setiap peraturan serta layanan diberikan,” katanya.

Kumpulan rakyat Palestin itu tiba di Malaysia hasil usaha dua hala antara Kerajaan Mesir dengan Malaysia, untuk dirawat susulan kecederaan dialami ketika konflik di Gaza.

Pada Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kementerian Luar dan MINDEF sedang menyelaraskan proses untuk mempercepatkan penghantaran pulang rakyat Palestin yang dirawat di negara ini.

Ia disusuli kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, bahawa proses itu akan dimulakan selepas MINDEF mendapat kelulusan dan dokumen diperlukan daripada Kementerian Luar serta pihak berkuasa Palestin dan Mesir.

Gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada Ahad lalu, sekali gus menghentikan pertempuran yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023 sehingga mengorbankan lebih 47,000 rakyat Palestin di mana kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini