comscore
Tumpuan :
Dunia

Berdosa dan haram tunai Haji tanpa saluran sah – Fatwa Kerajaan Arab Saudi 

Foto hiasan

MAKKAH: Hukum menunaikan haji tanpa mengikut saluran dan proses yang betul adalah berdosa dan haram berdasarkan Fatwa Kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tanah Suci Lembaga Tabung Haji (TH) Sharin Awaludin berkata dalam Islam, penting untuk taat kepada Allah, Rasul dan pemimpin atau peraturan sedia ada dalam melakukan sesuatu perkara.

“Sebab itu dalam konteks haji ini baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi melalui Dewan Ulama tertinggi telah mengesahkan hukum bahawa jemaah haji yang datang tanpa proses atau peraturan yang betul, adalah haram dan berdosa.

“Haji ini adalah satu-satunya ibadah bagi orang yang berkemampuan. Selain daripada kemampuan kewangan, keamanan, kesihatan, mereka juga perlu memenuhi syarat kuota, ada permit untuk menunaikan haji,” katanya kepada Petugas Media TH di Ibu Pejabat TH, di sini kelmarin.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai yang ingin menunaikan rukun Islam kelima itu supaya tidak terlalu ghairah tanpa mengambil kira peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Arab Saudi.

Ini kerana, katanya ibadah haji bukan ibadah yang suka-suka boleh dilakukan sebaliknya perlu dilakukan mengikut adab dan peraturan selain perlu dilaksanakan berlandaskan hukum syarak.

Sebelum ini, Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Sharif menyatakan tindakan tegas bagi rakyat Malaysia yang ingin menunaikan haji tanpa menggunakan cara yang sah akan dikenakan penalti sebanyak 10,000 riyal (SAR10,000) oleh kerajaan Arab Saudi.

Menurut Sharin, walau kita mampu sekali pun, tetapi itu tidak mencukupi, maka kita kena tunggu. Kita kena yakin kepada Allah bahawa untuk menunaikan haji ini adalah jemputan daripada Allah.

“Insya-Allah jika ada jemputan menjadi duyufurrahman, kita akan sampai juga. Kalau kita pergi tanpa mengambil kira perkara-perkara ini, bimbang ia memberi kesan kepada pelbagai pihak termasuk kepada keluarga dan mungkin negara akan terbabit, ” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial yang menyatakan bahawa kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah kerana dikatakan menggunakan visa pelancong untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial menerusi Forum Umrah DIY selepas dihubungi oleh rakannya yang memintanya untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Hal itu kemudian telah mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengarahkan TH agar melakukan siasatan berhubung kejadian yang menimpa bakal jemaah haji berkenaan.

Terdahulu Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penguatkuasaan penalti sebanyak SAR10,000 bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji antaranya Makkah, Wilayah Tengah, Masyair, stesen keretapi Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Penalti yang akan berkuat kuasa mulai 2 Jun hingga 20 Jun itu, akan dikenakan terhadap semua individu termasuk warga tempatan, pemastautin, dan pengunjung yang ditangkap di dalam kawasan berkenaan tanpa permit yang sah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini