comscore
Tumpuan :
Dunia

Berpuluh-puluh ditahan dalam perarakan wanita di Istanbul

Polis rusuhan Turkiye mengepung wanita yang membuat bantahan untuk menandakan Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita. -Foto: AP

ISTANBUL: Polis menahan berpuluh-puluh orang di Istanbul semalam pada perhimpunan sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita.

Bantahan tanpa kebenaran itu diadakan di Dataran Taksim, tempat perhimpunan tradisional untuk demonstrasi.

Pihak berkuasa bertindak menghalang perarakan dengan polis menggunakan beberapa siri penghadang untuk menghalang jalan.

“Hadang kepada pembunuh, bukan kepada wanita,” dalam tulisan di sepanduk yang dibawa oleh penunjuk perasaan.

Perhimpunan digelar ‘platform 25 November’ itu adalah gabungan kumpulan wanita yang membawa ratusan orang turun ke jalan raya.

Mereka melaungkan dalam bahasa Turki dan Kurdish ‘Wanita, Kehidupan, Kebebasan’ yang mengambil slogan wanita Iran dalam perjuangan mereka menentang kekerasan rejim.

Iran mempunyai diaspora yang besar di Turki, yang dianggarkan seramai 120,000 orang pada 2021.

Satu kumpulan aktivis membentangkan sepanduk di hadapan polis dengan menyatakan demi kebebasan, mereka tidak berdiam diri, tidak berputus asa dan tidak tunduk kepada keganasan negara patriarki.

Dalam menghadapi tindakan keras terhadap kebanyakan protes awam, wanita dan pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah yang terbaru menggesa demonstrasi besar-besaran di Turkiye. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini