comscore
Tumpuan :
Dunia

Biden hadiri upacara angkat sumpah presiden baharu AS, tanpa ambil kira pemenang

Biden bergurau dengan seorang kanak-kanak pada sambutan Halloween di Rumah Putih.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan menghadiri upacara angkat sumpah presiden baharu negara itu, tidak kira sama ada kemenangan berpihak kepada Kamala Harris mahu pun Donald Trump, menurut kenyataan Rumah Putih.

“Presiden percaya pada peralihan kuasa secara aman, dan itulah yang anda akan lihat beliau lakukan,” kata jurucakap, Karine Jean-Pierre pada taklimat akhbar, lapor Agensi Anadolu.

Upacara angkat sumpah dijadual berlangsung pada Januari tahun depan.

“Ini bukan tentang beliau, ia mengenai rakyat Amerika. Itulah yang mereka perlu lihat, tidak kira siapa yang menang.

“Dan itu sebahagian daripadanya – menghadiri upacara angkat sumpah, hadir sebagai sebahagian daripada proses bersejarah yang sentiasa dijunjung. Beliau pasti akan mengambil bahagian dalam acara itu,” kata Jean-Pierre.

Sebelum ini, bekas Presiden, Donald Trump tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah presiden pada Januari 2021 sekaligus melanggar tradisi yang telah lama wujud.

Trump pada waktu itu menentang kemenangan Biden yang didakwanya palsu sebelum keluar dari Rumah Putih menaiki helikopter dan segera meninggalkan Washington beberapa jam sebelum bermulanya upacara mengangkat sumpah. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini