comscore
Tumpuan :
Dunia

Biden umum perintah eksekutif baharu untuk tangani keganasan akibat senjata api

FOTO: Agensi

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengeluarkan perintah eksekutif baharu pada Selasa bagi mengekang keganasan disebabkan senjata api dengan meningkatkan pemeriksaan latar belakang untuk jualan senjata, sebagai tambahan kepada tindakan lain sedia ada.

Pengumuman itu dibuat semasa presiden melawat bandar yang didominasi oleh penduduk Asia Amerika di selatan California, yang menyaksikan insiden tembakan terburuk tahun ini semasa orang ramai meraikan Tahun Baharu.

Dalam kejadian pada 22 Jan itu, 11 orang terbunuh kebanyakannya warga emas, manakala sembilan lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata memasuki dewan tarian di Monterey Park dan melepaskan tembakan.

Penembak, Huu Can Tran, 72, meninggal dunia di dalam kenderaannya akibat kecederaan terkena tembakan sendiri ketika bergelut dengan penguatkuasa undang-undang.

Ketika bercakap kepada penduduk di situ, Biden menyifatkan insiden itu yang merupakan antara kes tembakan terbesar dan paling teruk dalam sejarah California, sebagai tragedi yang menusuk jiwa.

Perintah baharu presiden itu bertujuan menyekat pemilikan senjata api daripada kalangan golongan yang berbahaya menerusi peningkatan penguatkuasaan undang-undang “red flag” yang berkesan, mengukuhkan usaha untuk memastikan industri senjata api yang lebih bertanggungjawab selain mempercepat usaha penguatkuasaan undang-undang untuk mengenal pasti dan menangkap penembak yang mengancam komuniti,” menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Ia secara khusus akan meningkatkan pemeriksaan latar belakang yang diperlukan untuk pembelian senjata api tanpa undang-undang baharu daripada Kongres.

Undang-undang “red flag” akan membantu pihak berkuasa merampas senjata api sementara daripada individu yang dianggap berbahaya selain mengurangkan jumlah senjata api yang dilaporkan hilang semasa penghantaran daripada pengilang kepada pengedar.

Jumlah pemilikan senjata api telah meningkat secara mendadak daripada 1,700 senjata api pada 2018 kepada lebih daripada 6,100 pada 2022, menurut Rumah Putih.

Biden juga mengarahkan Kabinetnya supaya mencari jalan bagaimana kerajaan persekutuan boleh membantu komuniti yang terjejas akibat keganasan senjata api dengan lebih baik selain meminta Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan mengkaji dan melaporkan cara pengeluar senjata api memasarkan senjata api kepada golongan bawah umur. – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini