comscore
Tumpuan :
Dunia

BOLA SEPAK: Amerika Syarikat terawal tiba di Qatar, bawa sasaran awal lepasi peringkat kumpulan

Foto REUTERS – Pemain pertahanan Amerika Syarikat De Andre Yedlin dan rakan sepasukan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha menjelang sepak mula Piala Dunia 2022.

DOHA: Amerika Syarikat yang menjadi pasukan Piala Dunia terawal tiba di Qatar membawa misi tersendiri dalam kempen ke-11 mereka kali ini.

Pasukan bimbingan Gregg Berhalter itu yang tiba bersama 26 pemain menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan B terlebih dahulu, sebelum mengambil pendekatan seterusnya di fasa kalah mati.

“Semua pasukan juga semestinya mahu lepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu, begitu juga kami. Di pusingan kalah mati apa sahaja boleh berlaku dan kami juga sedar untuk mara dari saingan kumpulan pun sudah cukup sukar, namun itulah keutamaannya,” kata Berhalter kepada media sebaik tiba di Doha.

Amerika Syarikat bakal diberi cabaran England dan Iran selepas membuka tirai saingan menentang Wales 21 November ini.

“Kami sangat teruja lebih-lebih lagi selepas debaran pengumuman skuad lengkap pemain yang akan membawa cabaran. Sekarang ini masanya untuk menumpukan perhatian kepada pertandingan,” jelas pengendali berusia 49 tahun itu yang turut menyarung jersi kebangsaan di Piala Dunia 2002 dan 2006.

Sejak dilantik melatih pasukan pada awal Disember 2018, Berhalter mempunyai rekod 36 kemenangan, masing-masing 10 seri dan kekalahan selain membantu Amerika Syarikat menjuarai Piala Emas CONCACAF 2021 yang terdiri daripada negara-negara Amerika Tengah dan Caribbean dengan menumbangkan Mexico 1-0 di perlawanan akhir di Nevada.

Loading...
Terkini