
LONDON: Britain akan mengharamkan pasukan upahan Rusia, kumpulan Wagner dengan melabelkan ia sebagai organisasi pengganas.
Media memetik kenyataan Setiausaha Dalam Negeri Britain berkata, negara itu mahu Wagner diletakkan sebagai organisasi diharamkan di bawah undang-undang anti-keganasan seperti kumpulan Daesh dan Al-Qaeda.
Wagner disifatkan organisasi ganas dan pemusnah yang bertindak sebagai alat ketenteraan Presiden Rusia, Vladimir Putin di luar negara.
Di bawah Akta Keganasan 2000, Setiausaha Dalam Negeri mempunyai kuasa mengharamkan sesebuah organisasi jika percaya ia terbabit dalam keganasan.
Sebelum ini, pengasas Wagner, Yevgeny Prigozhin yang maut dalam nahas pesawat bersama beberapa komander utamanya disekat oleh Britain, ekoran pembabitannya dalam perang di Ukraine.
Rusia menetapkan peranan Wagner untuk terus mengganggu kestabilan antarabangsa dalam memenuhi matlamat politik Kremlin.