comscore
Tumpuan :
Dunia

Britain kesan kes pertama varian baharu Mpox

FOTO: Reuters

LONDON: Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) semalam mengesan kes pertama varian baharu Mpox clade Ib, bagaimanapun risiko virus berkenaan kepada populasi kekal pada tahap rendah.

Varian clade Ib adalah varian baharu virus yang diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Ogos lalu selepas wabak di Republik Demokratik Congo merebak ke negara jiran di Afrika.

Menurut UKHSA, kes berkenaan membabitkan seorang pesakit yang baru-baru ini mengembara ke negara berisiko di Afrika, dikesan di London dan individu berkenaan telah dipindahkan ke hospital pakar.

“Kontak rapat kes berkenaan kini sedang dipantau oleh UKHSA dan organisasi rakan kongsi,” katanya.

Terdapat kes varian Mpox clade Ib yang dilaporkan di Burundi, Rwanda, Uganda, Kenya, Sweden, India dan Jerman, serta Congo.

Ia adalah varian virus yang berbeza daripada clade II, yang merebak di peringkat global pada tahun 2022, terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jenis.

Mpox adalah jangkitan virus yang biasanya menyebabkan simptom seperti selesema dan kulit bernanah dan walaupun biasanya kesan ringan, ia boleh membawa maut.

Clade Ib juga menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding clade II.

Kedua-dua varian berkenaan boleh disebarkan melalui sentuhan fizikal rapat, termasuk hubungan seks.

Pihak berkuasa Britain menyatakan bahawa mereka tidak akan memberikan butiran lanjut mengenai pesakit berkenaan dan memaklumkan bahawa kontak individu yang dijangkiti itu sedang dipantau dan akan ditawarkan ujian serta vaksinasi jika diperlukan, serta penjagaan lanjut jika mereka diuji positif atau mempunyai simptom.

Menurut angka terkini WHO, terdapat lebih daripada 44,000 kes Mpox yang disahkan dan disyaki di Afrika tahun ini serta menyebabkan lebih daripada 1,000 kematian yang kebanyakannya berlaku di Congo.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini