comscore
Tumpuan :
Dunia

Britain larang beri sampel vape percuma kepada kanak-kanak

Foto hiasan

LONDON : Kerajaan Britain menghalang peruncit berikan sampel vape percuma kepada kanak-kanak dalam usaha mengawal penggunaan rokok elektronik itu.

Perdana Menteri, Rishi Sunak berkata beliau bimbang  dengan peningkatan mendadak penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak.

Peralatan yang mempunyai reka bentuk berwarna-warni dan perisa buah-buahan itu menjadikannya menonjol di rak kedai runcit serta menarik minat golongan remaja.

“Saya juga terkejut dengan laporan yang mendedahkan vape di pasaran gelap mengandungi plumbum sampai ke tangan kanak-kanak sekolah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan jabatan kesihatan.

Tambah beliau, pemasaran dan penjualan vape secara haram kepada kanak-kanak tidak boleh diterima sama sekali.

Kenyataan itu turut memetik laporan tinjauan 2023 oleh badan amal kesihatan awam Tindakan terhadap Merokok dan Kesihatan (ASH) terhadap kanak-kanak berumur 11 hingga 17 tahun.

Tinjauan mendapati dua daripada lima orang remaja berkata mereka menghisap vape hanya untuk mencubanya, manakala satu daripada lima responden berkata mereka melakukannya kerana tekanan rakan sebaya.

Isu larangan menjual vape kepada remaja berusia bawah 18 tahun bukan unik di Britain.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan England Prof Chris Whitty, dianggarkan seramai 2.55 juta pelajar sekolah menengah di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menggunakan e-rokok pada awal tahun 2022.

“Kita harus terus menggalakkan perokok bertukar kepada vape sebagai risiko yang lebih rendah, sambil menghalang pemasaran dan penjualan vape kepada kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan sama.

Kerajaan Britain juga berkata pihaknya akan mengkaji semula peraturan bagi membolehkan penguatkuasa mengeluarkan denda terhadap pengusaha kedai yang menjual vape kepada remaja bawah 18 tahun.

Antara lain, ia akan membolehkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan denda di tempat penjualan serta mengeluarkan notis penalti tetap dengan lebih mudah.

Sejak kebelakangan ini, kerajaan Britain berdepan tekanan untuk mengharamkan penjualan vape pakai buang selepas peranti terbabit semakin popular dalam kalangan kanak-kanak, lapor akhbar The Guardian.

Walaupun kerajaan melarang jualan e-rokok termasuk vape kepada penduduk berumur bawah 18 tahun, pakar-pakar berkata, sekitar 15 peratus kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun menghisap vape di Britain.

Inisiatif kerajaan untuk mendapatkan bukti mengenai tabiat menghisap vape dalam kalangan belia di England akan berakhir, 6 Jun ini.

Langkah susulan dijangka dilaksanakan selepas itu termasuk membanteras jualan vape haram dan mengetatkan pemasaran vape pakai buang yang lebih murah.

Dalam perkembangan berkaitan, sesetengah kumpulan kesihatan bimbang berhubung pendekatan kerajaan dalam menangani isu itu selepas Menteri Muda Kesihatan, Neil O’Brien menggalakkan vape sebagai pengganti rokok tradisional dalam ucapan bulan lalu.

O’Brien juga berkata, kerajaan merancang melaksanakan skim ‘tukar untuk berhenti merokok’ dengan menawarkan kit permulaan vape percuma kepada kira-kira sejuta perokok di England.Kumpulan kesihatan berkata, sejarah rokok elektronik singkat, bermakna pengetahuan mengenai kesan kesihatan jangka panjang dan bukti keberkesanannya dalam menghentikan tabiat merokok adalah terhad.

Statistik terkini Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berkaitan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan sembilan peratus kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun menggunakannya.

Namun, Kolej Diraja Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak menyatakan, angka sebenar boleh meningkat sehingga 15 peratus, manakala kajian lain menunjukkan golongan muda yang menghisap vape adalah tiga kali ganda lebih cenderung merokok berbanding mereka yang tidak berbuat demikian.

Terdapat juga kebimbangan  jenis vape pakai buang yang digemari oleh kanak-kanak menyalahi undang-undang.

Ujian makmal ke atas vape yang dikumpulkan dari sebuah sekolah menengah di Kidderminster mendapati kebanyakannya mengandungi kadar plumbum, nikel dan kromium yang tinggi. – AGENSI

Loading...
Terkini