comscore
Tumpuan :
Dunia

Buka pintu pesawat sebab sesak nafas dan hendak keluar cepat

FOTO: Reuters

SEOUL: Tindakan seorang lelaki membuka pintu kecemasan pesawat Asiana Airlines kerana mendakwa berasa sesak nafas dan mahu keluar cepat.

Perkara dimaklumkan oleh polis Korea Selatan di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, pesawat yang dalam penerbangan domestik itu membawa hampir 200 penumpang ketika menghampiri landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu, kira-kira 240 kilometer (km) di tenggara Seoul.

Apabila pesawat berada sekitar 200 meter sebelum mendarat, polis berkata lelaki berusia sekitar 30-an tanpa memberikan butiran lanjut identiti pelaku bertindak membuka pintu keluar.

Penumpang itu kemudiannya ditahan polis Daegu untuk disoal siasat dan memberitahu polis bahawa dia tertekan selepas kehilangan pekerjaan baru-baru ini.

“Dia berasakan penerbangan itu mengambil masa lebih lama daripada yang sepatutnya dan berasa sesak nafas dalam kabin. Jadi dia mahu keluar dengan cepat,” kata poli Daegu.

Berikutan itu, penumpang terbabit berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan.

Video pendek insiden yang dirakam oleh penumpang di dalam pesawat Airbus A321-200 disiarkan oleh Agensi Berita Yonhap Korea Selatan.

Rakaman menunjukkan angin merobek pintu terbuka di udara, dengan kain sandaran tempat duduk dan rambut penumpang berterbangan selain beberapa penumpang menjerit ketakutan.

Satu lagi video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan penumpang duduk di barisan keluar kecemasan di sebelah pintu terbuka ditiup angin kuat.

Menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan, 12 orang dibawa ke hospital selepas pesawat itu mendarat kerana mengalami masalah ketidakselesaan dan pernafasan.

Tiada kecederaan serius atau kerosakan direkodkan. Seorang penumpang berusia 44 tahun memberitahu Yonhap bahawa keadaan huru-hara dalam penerbangan selepas pintu pesawat dibuka.

“Ia huru-hara dengan orang yang berhampiran dengan pintu kelihatan pengsan seorang demi seorang dan pramugari memanggil doktor di dalam pesawat, manakala yang lain berlari ke lorong dengan panik.

“Saya fikir pesawat itu meletup. Saya fikir saya akan mati dalam keadaan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai Kementerian Pengangkutan memberitahu bahawa ia adalah kejadian pertama dalam sejarah penerbangan Korea Selatan.

Kata pakar, industri penerbangan Korea Selatan memiliki rekod prestasi kukuh untuk keselamatan.

Loading...
Terkini