Tumpuan :
Dunia

Burj Azizi rebut tempat kedua bangunan tertinggi di dunia

Bangunan Burj Azizi. -FOTO Azizi Developments

DUBAI: Dubai akan mempunyai bangunan kedua tertinggi di dunia, Burj Azizi yang dijangka siap pada 2028, lapor Newsweek.

Ia susulan pengumuman rasmi pada 5 September lalu oleh firma hartanah di Dubai, Azizi Developments yang mengumumkan bangunan berkenaan akan memiliki ketinggian 725 meter (m).

Kenyataan rasmi itu selepas pihaknya mendapat ‘kata putus’ daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am di Dubai.

Dengan pengumuman ini apabila siap dibina pada 2028, Burj Azizi akan mengatasi ketinggian bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa ini iaitu, Merdeka 118 di Kuala Lumpur (678.9 m).

 

Bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa ini iaitu Merdeka 118 di Kuala Lumpur dengan ketinggian (678.9 m).

Menurut Newsweek, majlis pecah tanah projek itu sudah diadakan pada Januari 2024.

Ia terletak hanya kira-kira tiga kilometer (km) daripada bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa (828 m).

Portal sama melaporkan hanya satu daripada 10 bangunan tertinggi di dunia berada di Amerika Syarikat. Ia adalah One World Trade Center di New York, kedudukan ketujuh tertinggi di dunia dengan ketinggian 541.3 m. Untuk rekod, One WTC juga bangunan paling baharu dalam senarai itu kerana ia dibina pada 2014.

Newsweek turut melaporkan kos pembinaan Burj Azizi dijangka mencecah AS$1.6 bilion (kira-kira RM7.7 bilion).

Bangunan ini akan memiliki 131 tingkat meliputi apartmen, restoran, hotel dan pusat hiburan.

Kebanyakan daripada kemudahan ini dijangka mencipta rekod sebagai tertinggi di dunia. Ini termasuk kelab malam ini akan berada di tingkat 126, dek pemerhatian akan berada di tingkat 130.

Selain itu, sebuah restoran di tingkat 122 juga menjadi restoran tertinggi di Dubai, lebih tinggi daripada restoran di Burj Khalifa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini