comscore
Tumpuan :
Dunia

Cacar monyet dikategori penyakit berjangkit ‘Kumpulan B’ di Vietnam

FOTO: REUTERS

HANOI, Vietnam: Kementerian Kesihatan menyenaraikan cacar monyet sebagai penyakit berjangkit Kumpulan B, iaitu penyakit berjangkit berbahaya yang mampu merebak dengan cepat dan mungkin menyebabkan kematian.

Keputusan itu dibuat berdasarkan cadangan Jabatan Perubatan Pencegahan kementerian itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit dijalankan mengikut Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit berdasarkan sifatnya, kebolehjangkitan dan kadar kematian cacar monyet.

Vietnam merekodkan beberapa kes positif bagi pelancong yang pulang dari luar negara.

Cacar monyet kali pertama dilaporkan pada 1958 dan dikesan pada monyet yang dibiak bagi tujuan penyelidikan.

Sejak Mei 2022, wabak itu telah merebak ke pelbagai negara dan simptomnya hampir serupa dengan cacar.

Tempoh inkubasi cacar monyet biasanya dari enam hingga tiga belas hari dan gejala mungkin berbeza-beza bergantung pada peringkat penyakit.

Gejala biasa cacar monyet termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, menggigil, keletihan dan ruam yang kelihatan seperti lepuh di muka atau di dalam mulut atau di bahagian lain badan, seperti tangan, kaki dan dada.

Penyakit ini boleh hilang dengan sendirinya dalam tempoh dua hingga tujuh hari.

Di Vietnam, penyakit berjangkit dikelaskan kepada tiga kumpulan. – BERNAMA

Loading...
Terkini