comscore
Tumpuan :
Dunia

China, Amerika Syarikat adakan perbincangan di Thailand

BEIJING : Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) Jake Sullivan dan ketua diplomat China Wang Yi, bertemu pada Jumaat dan Sabtu ini di Bangkok, ibu negara Thailand, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan dari Beijing dan Washington.

Pertemuan itu adalah susulan janji Presiden AS Joe Biden dan pemimpin China Xi Jinping untuk mengekalkan pertukaran strategik dan mengendalikan hubungan kedua-dua negara secara bertanggungjawab, menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara Adrienne Watson.

Wang berlepas ke Bangkok atas jemputan Thailand dan akan berada di situ sehingga 29 Jan, menurut Kementerian Luar di Beijing.

Xi dan Biden kali terakhir bertemu pada sidang kemuncak ASEAN pada November tahun lepas.

Hubungan antara dua ekonomi terbesar dunia itu tegang. AS sebelum ini mengenakan sekatan ekonomi yang bertujuan untuk menafikan akses China kepada teknologi cip yang penting. China juga dilihat mengambil arah konfrontasi dalam dasar ekonomi dan luar negaranya.

Terdapat banyak pertikaian serantau mengenai tuntutan wilayah yang didesak oleh China, serta pertikaian mengenai jiran China, Taiwan.

Beijing menganggap pulau di Asia Timur itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya walaupun kerajaan bebas yang dipilih secara demokratik telah berkuasa di sana selama beberapa dekad.

AS, sebaliknya adalah sekutu penting Taiwan. Di bawah pentadbiran Biden, kerajaan AS memberi jaminan untuk menyokong Taipei sekiranya berlaku pencerobohan oleh China. — BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini