comscore
Tumpuan :
Dunia

China tolak cadangan AS supaya ketua keselamatan kedua-dua negara bertemu

Menteri Pertahanan China, Li Shangfu semasa menghadiri mesyuarat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu di Moscow pada 16 April 2023. – Foto: Reuters

China menolak permintaan Amerika Syarikat supaya satu mesyuarat diadakan di antara ketua pertahanan kedua-dua negara.

Perkembangan itu disahkan Pentagon menerusi satu kenyataan kepada Wall Street Journal.

Menurut Pentagon, China menolak jemputan mereka pada awal Mei bagi Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin bertemu dengan Menteri Pertahanan Kebangsaan China, Li Shangfu di Singapura.

Ia selaras forum keselamatan tahunan yang dijadual diadakan di Singapura pada penghujung minggu ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Pentagon percaya kepada perbincangan terbuka bagi memastikan persaingan tidak melencong hingga menjadi konflik.

Potensi perbincangan itu menjadi perhatian berikutan pertelingkahan ke atas perdagangan dan ketegangan berhubung keselamatan serantau telah menyebabkan perbincangan antara Amerika Syarikat dan China berhubung soal ekonomi tertangguh.

Menurut penganalisis keselamatan berpangkalan di Singapura, Ian Storey keputusan China menolak cadangan berhubung pertemuan itu bukan suatu petanda yang baik.

Sebaliknya ia sekadar meningkatkan lagi ketegangan di rantau ini.

Mengikut jadual, Austin dan Li akan berada di Singapura untuk menghadiri sidang tahunan Dialog Shangri-La yang dijadual bermula Jumaat ini.

Pada persidangan itu, kedua-dua negara turut dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan negara sekutu mereka di rantau ini.

China setakat ini bagaimanapun belum memberikan sebarang penjelasan berhubung keengganan Li bertemu dengan Austin.

Bebeberapa penganalisis keselamatan yakin perkara itu ada kaitan dengan kekecewaan Beijing berhubung sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas negara itu.

Di satu lagi pihak, mereka juga yakin perkara itu ada hubungan dengan keputusan Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas Li sejak tahun 2018 ekoran tindakan China membeli pesawat pejuang dan peralatan lain daripada pengeksport senjata utama Rusia, Rosoboronnexport.

Loading...
Terkini