comscore
Tumpuan :
Dunia

CPIB selesai jalankan siasatan terhadap Iswaran

SINGAPURA: Siasatan terhadap Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran telah selesai dijalankan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

Kes berkenaan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk semakan.

Sebelum ini Iswaran didakwa terbabit dalam satu daripada kes rasuah paling serius dalam tempoh hampir empat dekad di negara itu.

Kes pembongkaran membabitkan Iswaran dan seorang hartawan, Ong Beng Seng itu bukan saja mengancam imej Singapura yang sebelum ini terkenal dengan imej bersih, malah turut menjejaskan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing, berkata pihaknya memahami bahawa terdapat kepentingan awam dalam perkara itu.

“Saya ingin memberi jaminan kes ini akan melalui proses undang-undang yang sewajarnya. CPIB sudah menyelesaikan siasatan yang ‘teguh dan teliti’ dan perkara itu kini sedang disemak oleh AGC,” katanya dalam jawapan bertulis ketika menjawab soalan diajukan Ahli Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Hazel Poa.

Poa meminta maklumat terkini mengenai siasatan terhadap Iswaran di Parlimen pada 9 Januari.

Iswaran ditahan CPIB pada 11 Julai 2023 dan kini dibebaskan dengan ikat jamin.

CPIB sebelum itu menahan Beng Seng yang juga Pengarah Urusan Hotel Property Limited pada 11 Julai lalu bagi membantu siasatan.

Singapura sentiasa tersenarai antara 10 negara paling kurang terbabit rasuah dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International, sejak ia bermula pada 1995.

Pegawai awam di Singapura adalah antara yang memperoleh gaji tertinggi di dunia, dengan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong memperoleh pakej kira-kira SGD$2.2 juta (RM7.54 juta) setahun.

Itu antara strategi yang menurut pemimpin politiknya mendorong untuk kes rasuah di negara itu kekal rendah.

Selain kes terbaru itu, bulan lalu, Menteri Luar, Vivian Balakrishnan serta Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam dibersihkan daripada salah laku biro antirasuah kerana menyewa kediaman kolonial berhampiran hab gaya hidup mewah.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, mengarahkan semakan semula selepas pembangkang bertanya sama ada menteri berkenaan membayar kadar sewa di bawah harga pasaran. – AGENSI

Loading...
Terkini