comscore
Tumpuan :
Dunia

Cuaca panas punca 19 kenderaan terbakar di lapangan terbang Manila

MANILA: Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila dan Bomba Filipina melaporkan kebakaran rumput telah menyebabkan 19 kenderaan di tempat letak kereta lapangan terbang berkenaan hangus terbakar.

Satu rakaman video di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam tebal, bagaimanapun, tiada laporan kecederaan direkodkan.

Video yang dikongsi di media sosial dan disahkan oleh AFP menunjukkan beberapa kenderaan telah terbakar di tempat letak kereta di terminal tiga.

Menurut agensi ramalan cuaca Filipina, indeks haba dijangka mencecah sehingga 41 darjah Celsius di kawasan lapangan terbang berkenaan.

“Ia bermula dengan sebuah kereta yang terbakar di tempat letak kereta kemudian melarat ke kenderaan lain kerana ia sangat panas,” kata Lane Macleod, yang merakam salah satu video dari dalam terminal lapangan terbang berkenaan.

“Kami berada di dalam lapangan terbang ketika itu. Kami hanya melihatnya dari tingkap,” katanya kepada AFP.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila (MIAA) dalam satu kenyataan berkata, operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan bagaimanapun tidak terjejas dengan insiden kebakaran terbabit.

MIAA berkata, ia menerima laporan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 1:30 tengah hari waktu tempatan dan api dapat dipadamkan dalam masa setengah jam.

Pegawai Bomba Kristine Germino berkata, mereka masih tidak dapat mengetahui punca kebakaran rumput berkenaan.

Bulan Mac, April dan Mei lazimnya adalah musim paling panas dan kering di negara berkenaan dan keadaan telah diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino.

Suhu di ibu negara Filipina boleh mencecah hampir 37 darjah Celsius menjelang waktu tengah hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini