comscore
Tumpuan :
Dunia

Cubaan seludup petrol gagal, dua warga Filipina ditahan 

Anggota APMM memeriksa bot dinaiki dua warga Filipina yang cuba menyeludup petrol ke negara jiran melalui perairan Kudat. FOTO Ihsan APMM

KUDAT: Dua warga Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba menyeludup 12 tong berisi petrol menerusi Op Tiris di perairan daerah ini, semalam.

Bot dinaiki kedua-dua suspek berusia 19 dan 51 tahun itu ditahan kira-kira empat batu nautika timur laut, Pulau, Kankamat, jam 4 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat perisikan, bot ronda Zon Maritim Kudat yang sedang menjalankan rondaan Op Tiris mengesan bot suspek di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, dua warga Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sah ditemui di dalam bot berkenaan,

“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 12 tong warna biru berisi petrol tanpa sebarang permit sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua petrol itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

“Suspek bersama bot serta barang rampasan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM15,000,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini