Tumpuan :
Dunia

“Dataran Tinggi Golan milik kami selamanya” – Israel

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel selama hampir 60 tahun, akan kekal menjadi sebahagian daripada Israel selamanya.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kritikan yang meningkat selepas Israel mengambil alih zon penampan di sempadannya dengan Syria.

Berucap pada sidang akhbar di Baitulmaqdis, Netanyahu mengucapkan terima kasih kepada Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, atas pengiktirafan ke atas tindakan Israel penaklukan wilayah itu pada 1981, ketika penggal pertama Trump selaku Presiden.

“Dataran Tinggi Golan akan menjadi sebahagian daripada Israel untuk selama-lamanya,” katanya.

Israel menawan dan menduduki sebahagian besar dataran tinggi itu daripada Syria sejak 1967 dalam Perang Enam Hari serta menangkis percubaan Syria untuk merampas kembali wilayah tersebut dalam Perang Arab-Israel 1973.

Netanyahu menegaskan, kawalan Israel ke atas kawasan tinggi itu ‘menjamin keselamatan dan kedaulatan Israel’.

Pada hujung minggu lalu, Israel mengarahkan tentera memasuki zon penampan yang dipantau PBB di Dataran Tinggi Golan selepas pejuang pemisah menggulingkan Presiden Bashar al-Assad di Syria.

Tindakan ini dikecam PBB dan negara jiran Israel sebagai pelanggaran perjanjian pengunduran tentera 1974 antara Israel dan Syria.

Arab Saudi turut mengkritik tindakan tersebut sebagai bukti pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.

Perdana Menteri Israel, Netanyahu berkata, keruntuhan kerajaan Assad membatalkan perjanjian itu, sementara Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menyatakan pengambilalihan itu adalah langkah sementara untuk keselamatan.

Jurucakap Amerika Syarikat, Matthew Miller menyokong tindakan sementara Israel tetapi menegaskan perlunya kestabilan jangka panjang antara Israel dan Syria.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini