comscore
Tumpuan :
Dunia

Dedak haiwan dijadikan ‘roti’ sebagai juadah berbuka puasa

Rakyat Palestin di Gaza yang hidup serba daif dan menyedihkan tanpa makanan mencukupi.

KUALA LUMPUR: Rata-rata penduduk Palestin di Gaza kini semakin menderita kesan krisis kebuluran sejak tentera Zionis memulakan serangan 7 Oktober lalu.

Seorang penduduk, Mohammed Jaiwad, 40, berkata, mereka berbuka puasa dengan ‘roti’ yang dihasilkan menggunakan dedak makanan arnab atau lembu yang dicampur beberapa titik sirap kurma.

“Tiada istilah makanan lazat dan mengenyangkan berikutan rata-rata penduduk Gaza hanya makan sekali sehari.

“Waktu iftar atau berbuka puasa adalah waktu dinanti-nantikan untuk mengalas perut selepas seharian berpuasa Ramadan.

“Tanpa ayam atau daging, kami hanya mampu menyediakan hidangan ringkas. Ini termasuklah sajian khoubiza iaitu salad yang dihasilkan menggunakan campuran sayur-sayuran, daun mallow dan lemon,” katanya.

Selain itu, dia dan keluarga hanya mampu memasak sup cair yang dicampurkan pelbagai sayur-sayuran berdaun dikutip di sekitar kebun.

“Tanpa bekalan tepung gandum serta telur, sukar untuk kami menghasilkan adunan roti dan makanan ruji mengenyangkan. Hidangan sup ringkas atau khoubiza ini hanya sekadar dapat mengalas perut seketika tanpa ada perasaan kenyang.

Penduduk Palestin di Tebing Gaza terpaksa menjamah makanan secara ala kadar semasa berbuka puasa.

“Malah, rasa lapar akan dirasai semula beberapa jam kemudian. Ketika ini saya kehilangan berat lebih 20 kilogram akibat kekurangan makanan. Namun lebih menyedihkan adalah keadaan beribu bayi dan kanak-kanak Gaza. Mereka kekurangan makanan berkhasiat untuk tumbesaran,” katanya.

Menurutnya, tiada kemeriahan dirasai pada malam Ramadan tahun ini selepas berpuluh masjid di Tebing Gaza musnah dibom tentera Israel. Bunyi azan tidak lagi kuat berkumandang di setiap pelosok Gaza.

“Ramadan di Gaza biasanya sangat meriah apabila ahli keluarga dan rakan berkumpul hingga larut malam.

“Namun kini rata-rata penduduk Gaza akan bersembunyi di dalam khemah atau kediaman sebaik matahari terbenam. Mereka dihantui ketakutan terhadap serangan mendadak roket dan bom Zionis.

“Ramadan sepatutnya menjadi bulan kebaikan dan keberkatan. Namun kini ia bertukar menjadi satu bulan kesedihan.” katanya,

Sementara itu seorang lagi penduduk Gaza, Almadhoun memaklumkan dia sekeluarga hanya mampu menikmati makanan ikan sardin di dalam tin secara beramai-ramai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini