comscore
Tumpuan :
Dunia

Demonstrasi, rakyat terus zahir sokongan terhadap Imran Khan

Foto: Reuters

ISLAMABAD: Ribuan penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, berhimpun di Islamabad sebagai menzahir sokongan dan membantah hukuman dikenakan terhadap bekas pemimpin itu.

Demonstrasi tetap diadakan meskipun pihak berkuasa menyekat laluan utama peserta yang mara di sekitar ibu negara.

Demonstrasi yang diketuai parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Khan adalah yang terbesar di Islamabad sejak bekas pemain kriket antarabangsa itu dipenjara tahun lalu atas beberapa pertuduhan, sebahagiannya masih di mahkamah.

Menurut Penganalisis Politik Pakistan, perhimpunan itu diadakan bagi memastikan keupayaan mobilisasi PTI kekal utuh walaupun terdapat usaha berterusan menghalangnya.

Foto: Reuters

Penunjuk perasaan bertindak mengalihkan kontena yang digunakan pihak berkuasa untuk menyekat jalan utama ke Islamabad sebelum demonstrasi.

Seorang senator PTI, Humayun Mohmand berkata biarpun pihak berkuasa menutup laluan ke bandar dengan kontena, ribuan orang masih hadir dan usaha untuk menghentikan motivasi serta mengekang emosi rakyat terus menemui jalan buntu.

Khan, yang dipenjara sejak Ogos 2023, yakin pertuduhan terhadapnya direka untuk menghalangnya daripada kembali memegang jawatan dalam kerajaan.

Beliau, yang masih mendapat sokongan tentera dan mempunyai pengaruh besar, dilantik pada 2018 dengan mandat menentang rasuah yang meluas dalam politik di negara berkenaan.

Namun, Khan digulingkan pada 2022 selepas berlaku perselisihan dengan pihak tentera.

Tindakan itu meningkatkan rasa kecewa dalam kalangan rakyat Pakistan yang memilih pengecualian tentera dalam politik di negara itu.

Penangkapan pertama Khan dilakukan atas tuduhan rasuah pada Mei 2023, mencetuskan demonstrasi di seluruh negara oleh penyokong yang menyatakan kemarahan terhadap tentera.

Sebagai tindak balas, tentera mengatur tindakan keras terhadap PTI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini