comscore
Tumpuan :
Dunia

Dipenjara secara salah selama 38 tahun

Los Angeles: Setelah terpaksa meringkuk lebih 38 tahun dalam penjara kerana pembunuhan pada 1983 dan dua cubaan membunuh, seorang lelaki akhirnya dibebaskan dari penjara California selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan individu terbabit sebenarnya orang lain.

Peguam daerah Los Angeles County berkata, pertuduhan terhadap Maurice Hastings, 69, dan hukuman penjara seumur hidup digugurkan dalam perbicaraan mahkamah pada 20 Oktober lalu atas permintaan pendakwa raya dan peguamnya dari Los Angeles Innocence Project di Universiti Negeri California, Los Angeles.

“Saya berdoa selama bertahun-tahun supaya hari ini tiba,” kata Hastings pada sidang akhbar pada Jumaat sambil menambah dia tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa.

Menurut lelaki itu, dia hanya mahu menikmati hidup sementara hayatnya masih ada.

Mangsa dalam kes itu, Roberta Wydermyer, diserang secara seksual dan dibunuh dengan satu tembakan di kepala, kata pihak berkuasa.

Mayatnya ditemukan di dalam bagasi kenderaannya di pinggir bandar Los Angeles, Inglewood.
Hastings didakwa dengan pembunuhan dan pejabat pendakwa raya memohon hukuman mati, tetapi juri menemui jalan buntu.

Juri kedua mensabitkannya bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 1988 tanpa kemungkinan parol.

Hastings mengekalkan pengakuan tidak bersalah sejak hari pertama dia ditahan.

Dalam proses bedah siasat mangsa, koroner menjalankan pemeriksaan mendapati terdapat serangan seksual dan air mani dikesan dalam calitan mulut, kata kenyataan pendakwa raya.

Hastings mahu menjalani ujian DNA pada 2000 tetapi pada masa itu, permohonannya ditolak pejabat pendakwa raya.

Hastings mengemukakan tuntutan tidak bersalah kepada Unit Integriti Sabitan DA tahun lalu, dan ujian DNA Jun lalu mendapati air mani itu bukan miliknya.

Profil DNA itu dimasukkan ke dalam pangkalan data negeri bulan ini dan dipadankan dengan seseorang yang disabitkan dengan penculikan bersenjata di mana seorang mangsa wanita diletakkan di dalam bagasi kenderaan serta dipaksa melakukan oral seks.

Suspek itu yang namanya tidak didedahkan meninggal dunia di penjara pada 2020.- AP

Loading...
Terkini