comscore
Tumpuan :
Dunia

Diplomat dan pegawai pertahanan Korea Selatan, Jepun mulakan rundingan keselamatan

FOTO: Kyodo

SEOUL: Diplomat kanan dan pegawai keselamatan Korea Selatan dan Jepun mengadakan mesyuarat bersama hari ini, rundingan pertama seumpama itu sejak Mac 2018, menurut kenyataan kementerian luar Seoul, ketika hubungan dua hala kini semakin pulih.

Mesyuarat perundingan dasar peringkat ketua pengarah itu diadakan selepas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada bulan lalu bersetuju untuk membaiki hubungan yang terjejas akibat pertikaian sejarah, dan meningkatkan kerjasama keselamatan susulan provokasi yang semakin meningkat dari Korea Utara, lapor Yonhap.

Pertemuan dua tambah dua itu menghimpunkan Seo Min-jung, ketua pengarah hal ehwal Asia dan Pasifik di kementerian luar dan Woo Kyoung-suk, timbalan ketua pengarah dasar antarabangsa di kementerian pertahanan dan rakan Jepun, Takehiro Funakoshi, ketua pengarah hal ehwal Asia dan Oceania, dan Atsushi Ando, timbalan ketua pengarah Biro Dasar Pertahanan.

Dalam pertemuan itu kedua-dua pihak dijangka berkongsi penilaian mereka tentang situasi keselamatan di Asia Timur Laut dan di Semenanjung Korea serta dasar pertahanan dan keselamatan masing-masing.

Pada sidang kemuncak di Tokyo bulan lepas, pemimpin kedua-dua negara bersetuju untuk menyambung semula pelbagai saluran dialog kerajaan yang telah digantung di tengah-tengah ketegangan hubungan akibat pertikaian sejarah yang berpunca daripada penjajahan Jepun di Semenanjung Korea dari 1910-45.

Mesyuarat perundingan bersama itu dilancarkan pada 1998 selepas perjanjian antara menteri luar kedua-dua negara setahun sebelumnya. -BERNAMA

Loading...
Terkini