
SEOUL: Menteri Luar Korea Selatan Park Jin dan diplomat tertinggi Rusia, Sergey Lavrov, telah membincangkan hubungan antara kedua-dua negara dan situasi di Semenanjung Korea, kata Kementerian Luar Korea Selatan pada Isnin, lapor Sputnik.
Pertemuan kedua-dua menteri, yang mengetuai delegasi negara masing-masing, berlangsung pada Ahad di luar sidang kemuncak G20 di ibu negara India, New Delhi.
“Park Jin berunding dengan rakan sejawatnya dari Rusia mengenai isu syarikat-syarikat Korea Selatan yang beroperasi di Rusia serta keselamatan warga Korea Selatan di negara itu.
“Beliau juga menekankan bahawa hubungan Rusia-Korea Utara dalam isu di Semenanjung Korea mesti menyumbang kepada mewujudkan keamanan dan kestabilan (di rantau itu) dan di Asia Timur Laut sambil mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Park juga menekankan keperluan mewujudkan keamanan di Ukraine dan meminta kerjasama membina Rusia dalam Majlis Keselamatan dalam isu Korea Utara, menurut kenyataan itu.
India telah mempengerusikan G20 sejak 1 Disember 2022. Sidang kemuncak peringkat tertinggi di New Delhi dari Sabtu hingga Ahad mengumpulkan 20 negara anggota serta sembilan negara lain, termasuk Bangladesh, Mesir, Sepanyol, Mauritius, Nigeria, Belanda, Emiriah Arab Bersatu, Oman dan Singapura. – BERNAMA-SPUTNIK