SINGAPURA: Seorang pendatang asing warga Indonesia yang pernah dihantar pulang dan dilarang memasuki Singapura, kembali ke negara itu secara haram.
Muhammad Izal, 34, telah berenang dari perairan Malaysia ke Singapura dengan menggunakan beg sampah sebagai pelampung.
Lelaki itu ditangkap bulan lalu dan dijatuhi penjara sehingga 15 bulan dan tujuh sebatan pada Khamis, selepas mengaku bersalah memasuki Singapura tanpa pas sah serta tiada kebenaran.
Izal yang pernah dipenjara dan diusir pada Mei 2022, memutuskan untuk kembali semula ke Singapura dan bekerja secara haram selepas kira-kira tujuh bulan berada di negaranya.
Berdasarkan dokumen mahkamah, dia didakwa menaiki feri dari Batam ke Stulang Laut di Johor Bahru, Malaysia dan bermalam selama dua hari di sana, sebelum memulakan misi berenang ke arah Pulau Ubin di Singapura.
Mahkamah menyebut yang Izal menggunakan beg sampah hitam untuk terapung dan selepas tiba di Pulau Ubin, dia berehat selama setengah jam sebelum berenang pula ke arah Pantai Changi.
Dia berjaya memasuki Singapura tanpa dikesan dan tinggal secara haram selama 10 bulan sehingga 23 Oktober lalu, apabila ditahan pegawai ICA (imigresen Singapura) di Jalan Woodlands.
Pada Ogos 2021, Izal didakwa atas tuduhan memasuki Singapura tanpa dokumen sah dan kembali semula ke negara itu selepas dihalau keluar.
Dia disabitkan kesalahan pada Sept 2021 dan dihukum penjara setahun dan enam sebatan.
Selepas dibebaskan dari penjara pada April 2022, Izal diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen untuk penghantaran pulang, malah diberi notis bertulis yang melarangnya daripada memasuki Singapura berkuat kuasa pada tarikh pengusiran.
Izal diberitahu yang dia dilarang memasuki Singapura lagi tanpa kebenaran pihak imigresen dan turut menurunkan cap jari ke atas notis itu tanda akur. – AGENSI