comscore
Tumpuan :
Dunia

Dua Penembak Palestin, Seorang Tentera Israel Terbunuh di Tebing Barat

Foto: Reuters

RAMALLAH, Palestin: Tentera Israel menembak mati dua penembak Palestin dalam satu pertempuran berhampiran sempadan Tebing Barat yang diceroboh hari ini, dengan seorang pegawai tentera turut terbunuh.

Menurut jurucakap tentera Israel, anggotanya memintas dua lelaki sebelum subuh, yang dikesan menghampiri sekatan Israel di sempadan Tebing Barat berhampiran bandar Palestin, Jenin.

Katanya, kedua-dua lelaki itu kemudian melepaskan tembakan yang membunuh seorang pegawai tentera, sebelum mereka mati ditembak anggota tentera lain.

Briged Jenin, gabungan serpihan warga Palestin yang bersenjata, mendakwa kedua-dua lelaki yang mati ditembak itu adalah anggotanya dan mengesahkan mereka membunuh seorang pegawai tentera Israel.

Keganasan meningkat di Tebing Barat sejak beberapa bulan lalu, selepas Israel meningkatkan serbuan susulan beberapa serangan jalanan oleh warga Palestin di kawasan bandarnya.

Ketegangan Israel-Palestin terus memuncak sejak rundingan mengenai penubuhan negara Palestin yang diketuai Amerika Syarikat (AS), tertangguh sejak 2014.

Sejak itu, kredibiliti Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang ditubuhkan di bawah perjanjian damai sementara bagi menjalankan pentadbiran secara terhad di Tebing Barat, semakin lemah pada peringkat domestik.

Israel menggesa PA mengambil tindakan keras di kawasan panas seperti Jenin, namun pegawai PA menuduh Israel cuba melemahkan pentadbiran mereka. – REUTERS

Loading...
Terkini