comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Dunia perlu terus heret Israel ke muka pengadilan – Duta Palestin


KUALA LUMPUR: Dunia seharusnya mengheret rejim zionis Israel ke muka pengadilan ekoran tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata dunia kini telah dibuktikan dengan pelbagai tindakan rejim itu yang melanggar undang-undang dunia serta hak asasi manusia.

“Rejim zionis Israel terus melanggar peraturan antarabangsa, meskipun berdepan desakan demi desakan. Mereka terus melanggar hak asasi manusia dengan keganasan dan kekejaman di Gaza.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali

“Ketika ini mereka cuba untuk menjajah Rafah yang akan mengundang malapetaka kemanusiaan dan menjadi peristiwa Naqbah yang baru untuk rakyat Palestin,” katanya.

Justeru jelas Walid, suara dunia kini lebih lantang dan perlu diperhebatkan lagi dalam membebaskan rakyat Palestin daripada menderita kekejaman rejim zionis.

“Komuniti antarabangsa perlu lebih berani dengan mengheret Israel ke muka pengadilan. Mereka ini (Israel) perlu diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), mereka perlu belajar hormati hak asasi manusia dan menghentikan semua jenayah terhadap Palestin.

“Saya harap ICJ dan ICC berlaku adil pertama kali kepada kita dan melakukan tindakan terhadap jenayah yang dilakukan oleh Israel ini.

“Biar mereka tahu bahawa undang-undang antarabangsa perlu dihormati. (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu dan kerajaannya tidak menghormati perkara ini, begitu juga hak asasi manusia. Jadi mereka perlu dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Pengasas Asia Middle East Center (AMEC) untuk Penyelidikan dan Dialog, Muslim Imran pula berpendapat rejim itu tidak jujur untuk mencapai gencatan senjata yang ingin dicapai.

Pengarah Pengasas Asia Middle East Center (AMEC) (Penyelidikan dan Dialog), Muslim Imran

Sebaliknya jelas Muslim, rejim itu hanya mahu membebaskan tahanan rakyat mereka di Gaza dan meneruskan peperangan.

“Sudah tentu Israel tidak ikhlas dengan gencatan senjata yang ingin dicapai. Mereka hanya mahu mengeluarkan tahanan rakyat mereka dan meneruskan perang.

“Hamas dan Pasukan Pejuang Palestin memahami perkara ini dan tidak mudah untuk mereka capai persetujuan. Selagi Israel menghantar tentera ke Gaza, tidak akan ada gencatan senjata,” katanya.

Mengulas lanjut ujarnya, menjadi harapan rakyat Palestin di Gaza agar gencatan senjata dicapai dengan tekanan antarabangsa terhadap rejim zionis itu.

“Palestin mahu gencatan senjata ini dicapai, dan Hamas juga menyambut baik jika ada inisiatif gencatan senjata ingin dicapai asalkan ia tidak sementara,” katanya lagi.

Sehingga kini, hampir 35,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza akibat serangan tidak berperikemanusiaan rejim zionis Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.

Memasuki hari ke 207, lebih 77,000 ribu rakyat Palestin turut cedera dan kini berdepan malapetaka kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini