comscore
Tumpuan :
Dunia

Dunia sambut ketibaan 2023 dengan pertunjukan bunga api, cahaya

Pertunjukan bunga api meraikan kedatangan 2023 di Pelabuhan Victoria, Hong Kong. – Foto: Reuters

NEW YORK: Penduduk di seluruh dunia berpusu-pusu ke dataran dan pusat hiburan ketika dunia memasuki tahun 2023 pada Sabtu, menurut Agensi Anadolu.

Amerika Syarikat (AS) menyambut tahun baharu dengan menyaksikan ratusan orang ramai berkumpul di Times Square.

Perayaan tahun baharu dibuka kepada orang ramai tahun ini selepas penyertaan terhad selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19.

Walaupun hujan, ratusan ribu peserta terutama warga New York dan pelancong dari seluruh dunia memenuhi dataran itu.

Kira-kira satu bilion penduduk dari seluruh dunia dilaporkan menonton sambutan perayaan di New York, yang disiarkan secara langsung di saluran nasional, portal Internet dan aplikasi media sosial.

Di seluruh Turkiye, orang ramai berkumpul untuk di pusat bandar termasuk di kota besar Istanbul untuk meraikan ketibaan 2023.

Daerah Besiktas, Taksim dan Kadikoy adalah antara lokasi popular yang menjadi pilihan orang ramai untuk bersama meraikan tahun baharu.

Di Bosnia-Herzegovina, Croatia, Serbia, Montenegro, Macedonia Utara, Albania dan Kosovo sambutan diserikan dengan konsert dan pertunjukan bunga api.

Orang ramai di beberapa negara Eropah turut berpusu-pusu ke luar untuk menyertai acara berskala besar. Pertunjukan bunga api yang dibatalkan pada 2021 kerana wabak COVID-19 dibenarkan diadakan di Champs-Elysees tahun ini, lokasi paling sibuk dan menjadi tumpuan pelancong di Paris.

Dianggarkan 500,000 orang menghadiri perayaan di Champs-Elysees. Walaupun trafik ditutup kepada kenderaan, pengangkutan awam disediakan secara percuma dengan perkhidmatan bas, kereta api pinggir bandar dan perkhidmatan metro dilanjutkan sehingga pagi.

Di Jerman, beribu-ribu orang berkumpul di Brandenburg Gate di Berlin, lokasi simbolik tempat orang ramai berkumpul setiap tahun untuk menandakan penghujung tahun.

Ukraine menyambut tahun baharu dengan letupan kedengaran di ibu negara Kyiv. Tiada perayaan yang meluas diadakan tahun ini di Kyiv, berikutan perang dengan Rusia yang susah berlarutan lebih 10 bulan.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 20 lagi cedera di Kyiv akibat serangan peluru berpandu pada hari terakhir 2022.

Sementara itu, Rusia memasuki 2023 tanpa pertunjukan bunga api dan program hiburan besar-besaran di jalanan susulan perang di Ukraine. – BERNAMA

Loading...
Terkini