comscore
Tumpuan :
Dunia

Eksport mi segera Korea Selatan lepasi AS$100 juta buat julung kali pada April – Kastam

FOTO: Reuters

SEOUL: Eksport mi segera Korea Selatan melepasi US$100 juta buat kali pertama bulan lepas, berikutan kepopularan budaya dan makanan Korea yang semakin meningkat, menurut data yang dikeluarkan pada Ahad.

Eksport mi segera atau ‘ramyeon’ dalam Bahasa Korea mencecah US$108.6 juta pada April, naik 46.8 peratus dari setahun sebelumnya, meningkat dengan kadar yang pantas sejak Mei 2022, menurut Perkhidmatan Kastam Korea Selatan (KCS).

Ia menandakan buat julung kalinya angka bulanan itu melepasi US$100 juta, lapor agensi berita Korea Selatan (Yonhap).

Eksport ramyeon meningkat secara tetap sejak 2015 dan dijangka mencecah angka tertinggi terbaharu pada tahun ini.

Ia berikutan populariti filem, drama dan muzik Korea selain peningkatan permintaan untuk produk makanan yang segera boleh dimakan dengan harga berpatutan, di tengah-tengah inflasi yang tinggi.

Pada tahun lepas, eksport ramyeon mencapai rekod tertinggi US$952 juta, melonjak 24.4 peratus dari 2022.

KCS menjangkakan eksport ramyeon melepasi US$1 bilion tahun ini.

Samyang Foods Co., sebuah pengeluar mi segera utama Korea Selatan menyaksikan jualannya meningkat 57 peratus kepada 385.7 bilion won (US$284.5 juta) pada suku pertama tahun ini.

Syarikat itu juga berkata, perolehan dari pasaran luar negara terutamanya, melonjak 85 peratus, terima kasih kepada populariti mi segera pedas diminati ramai, Buldak Ramen dengan perisa ‘carbonara’.

Perolehan luar negara merupakan 75 peratus daripada jumlah jualan Samyang pada suku pertama, menurut syarikat itu. – BERNAMA-YONHAP

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini