comscore
Tumpuan :
Dunia

Elon Musk Akhirnya Ambil Alih Twitter Bernilai AS$44 Bilion

Foto: Reuters

SAN FRANCISCO: Jutawan dan pemilik syarikat Tesla, Elon Musk menyelesaikan pengambilalihan Twitter bernilai AS$44 bilion (RM207.6 bilion).

Menurut beberapa laporan media dan pelabur dalam firma itu, langkah berkenaan disusuli pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Ketua Hal Ehwal Undang-undang serta Dasar Twitter berkuat kuasa serta-merta.

CEO Parag Agrawal, dan CFO Ned Segal dan Vijaya Gadde tidak lagi bersama syarikat itu, menurut laporan media Amerika Syarikat (AS).

Musk mendakwa eksekutif tertinggi syarikat itu mengelirukan beliau dan pelabur Twitter berhubung jumlah akaun palsu di platform media sosial berkenaan.

Agrawal dan Segal berada di ibu pejabat Twitter di San Francisco apabila perjanjian itu dimeterai dan diiring keluar, lapor media AS yang memetik sumber dalaman syarikat.

Menurut laman web Bursa Saham New York, saham platform media sosial Twitter akan digantung daripada dagangan hari ini

Awal minggu ini, Musk menghantar tweet video dirinya berjalan ke ibu pejabat Twitter di San Francisco sambil membawa sinki dapur dengan kapsyen: “Let that sink in!”

Beliau juga turut menukar profil Twitternya kepada “Chief Twit”.

Musk tidak mendedahkan butiran bagaimana beliau akan melaksanakan semua itu dan siapa yang akan mengendalikan syarikat itu.

Beliau turut merancang mengurangkan jumlah pekerja menyebabkan kira-kira 7,500 staf Twitter kini bimbang mengenai masa depan mereka.

Loading...
Terkini