ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggunakan kuasa ketenteraan terhadap Israel jika enggan menghentikan serangan di Gaza dan Lubnan.
Langkah itu, jelas Erdogan adalah selaras dengan resolusi yang diluluskan badan dunia itu pada 1950.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh lagi berdiam diri terhadap tindakan kejam Israel yang mengancam kestabilan seluruh rantau.
“Jika Majlis Keselamatan PBB gagal menunjukkan ketegasan yang diperlukan, Perhimpunan Agung harus segera melaksanakan kuasa yang ada untuk menggunakan kekuatan, seperti yang termaktub dalam Resolusi Uniting for Peace pada tahun 1950,” katanya dalam satu sidang media di Ankara.
Turki yang sebahagian daripada anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), mengecam serangan Israel ke atas Gaza yang menyasarkan kumpulan pejuang Hamas, dan juga serangan terkini Israel di Lebanon terhadap pejuang Hezbollah.
Sebagai protes, Turki telah menghentikan semua perdagangan dengan Israel dan memohon untuk menyertai kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendakwa Israel.
Selain itu, Erdogan turut menyatakan kekecewaan melihat negara-negara Islam lain tidak mengambil pendirian yang lebih aktif dalam isu itu, lantas mendesak mereka untuk melaksanakan sekatan ekonomi, diplomatik, dan politik terhadap Israel bagi menekan negara tanah haram itu untuk menerima gencatan senjata.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa