
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menetapkan peraturan baharu mengenai cara pengendalian pencari suaka dan pendatang asing tanpa izin (PATI), selepas Jerman menyatakan akan mengikut pakej yang dirundingkan secara intensif.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Dalam Negeri EU, Ylva Johansson berkata ‘tiada halangan utama’ dalam isu yang kian meruncing itu selepas mesyuarat Menteri Dalam Negeri blok berkenaan berlangsung, dan perjanjian rasmi akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Apabila dilaksanakan, Pakatan Mengenai Migrasi dan Suaka baharu akan berusaha bagi meredakan tekanan di negara barisan hadapan seperti Itali dan Greece, dengan memindahkan beberapa pencari suaka atau PATI ke negara EU yang lain.
Negara-negara yang menentang untuk menerima pencari suaka – seperti Poland dan Hungary – akan dikehendaki membiayai kos negara yang mengambil pendatang berkenaan.

Pada masa sama, EU juga akan berusaha mempercepat proses permohonan suaka agar pendatang yang dianggap tidak boleh diterima dikembalikan ke negara asal atau negara transit mereka.
Peraturan baharu juga menetapkan masa tahanan maksimum untuk pendatang di pusat sempadan akan dipanjangkan berbanding 12 minggu yang ditetapkan sekarang.
Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser, berkata negaranya diberi kelonggaran yang membenarkannya menyokong perjanjian itu, selepas pada mulanya berkecuali ketika draf awal, yang dianggap terlalu keras untuk beberapa kategori pendatang.
Katanya, antara perubahan yang dibuat bagi mendapatkan persetujuan Jerman termasuk memastikan keluarga dan kanak-kanak ‘diutamakan’ apabila mereka menjejakkan kaki secara tidak sah di bumi EU dan kriteria kemasukan pencari suaka tidak diperketatkan.
Di Berlin, Menteri Luar Itali Antonio Tajani berkata, negaranya memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji teks terkini.
Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat Brussels, Menteri Dalam Negeri Sepanyol Fernando Grande-Marlaska pula menegaskan, ‘sebahagian besar negara anggota” bersetuju dengan pendekatan bertolak ansur itu.