
STRASBOURG (Perancis): Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengumumkan siasatan anti-subsidi ke atas kenderaan elektrik dari China.
Menurut Von der Leyen, ketika berucap kepada penggubal undang-undang Kesatuan Eropah di Strasbourg, Perancis, pasaran global dibanjiri dengan kereta elektrik China dengan harga murah.
Ia mengakibatkan pertikaian dalam kalangan pemain industri berkenaan sekaligus dilihat menjadi gangguan pasaran di Eropah.
EU, bagaimanapun, tidak bertolak ansur dengan gangguan pasaran sama ada dari dalam blok atau dari luar, kata von der Leyen.
Ujarnya, Eropah terbuka kepada persaingan, namun bukan untuk bersaing dengan nilai yang menyusut.
Beliau juga pada masa sama berkata, penting untuk mengekalkan saluran komunikasi dan dialog terbuka dengan China.