JAKARTA: Suruhanjaya Eropah mengumumkan pakej bantuan kemanusiaan berjumlah 21.5 juta Euro untuk rantau Asia Pasifik dengan dana diperuntukkan bagi projek di Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Malaysia.
Selain itu, penerbangan ‘Humanitarian Air Bridge’ Kesatuan Eropah (EU) yang baharu akan menghantar bekalan penting kepada mangsa Taufan Yagi yang telah menyebabkan kemusnahan besar di seluruh rantau berkenaan.
Pakej bantuan baharu ini menjadikan jumlah sokongan EU kepada hampir 95 juta Euro untuk tahun ini, menurut kenyataan Suruhanjaya Eropah, cabang eksekutif EU.
Pesuruhjaya Pengurusan Krisis Janez Lenarcic berkata musim monsun yang berterusan amat sukar di Asia Tenggara, di mana beberapa negara telah mengalami banjir dan taufan yang teruk.
“Memandangkan bencana yang disebabkan oleh perubahan iklim menjadi lebih kerap dan dahsyat, adalah lebih penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan respons yang cekap,” katanya yang sedang dalam lawatan ke Filipina dan Indonesia untuk mengukuhkan kerjasama dalam kesiapsiagaan bencana dengan ASEAN dan rakan serantau yang lain.
Beliau akan mewakili EU pada Persidangan Menteri-menteri Asia-Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Manila, menekankan komitmen EU terhadap kesiapsiagaan dan respons bencana di dalam dan luar Eropah.
Baru-baru ini, EU menyediakan sokongan kepada Filipina susulan Taufan Yagi dan Gaemi.
Pada minggu ini di Jakarta, Lenarcic akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian mengenai pengurusan bencana antara Jabatan Perlindungan Awam dan Operasi Bantuan Kemanusiaan EU dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).
Perjanjian itu bertujuan meningkatkan kerjasama antara EU dan negara-negara ASEAN dalam kesiapsiagaan dan respons bencana, termasuk inisiatif untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik.
Semasa lawatannya, beliau juga akan memperingati ulang tahun ke-20 tsunami dahsyat yang melanda Indonesia pada 2004, mencerminkan solidariti EU semasa respons bencana itu.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.