Tumpuan :
Dunia

FAA larang penerbangan ke Haiti selepas 2 pesawat AS terkena tembakan

Anggota polis mengawal sekatan jalan raya di perimeter Lapangan Terbang Antarabangsa Toussaint Louverture setelah FAA mengeluarkan larangan syarikat penerbangan AS beroperasi di Haiti selama 30 hari. – Reuters

WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan larangan penerbangan ke dan dari Haiti selama sekurang-kurangnya 30 hari selepas pesawat JetBlue Airways dan Spirit Airlines terkena tembakan pada Isnin berhampiran Port-au-Prince, lapor United Press International (UPI).

FAA berkata selain larangan 30 hari, pihaknya juga melarang buat sementara kebanyakan penerbangan Amerika Syarikat (AS) terbang di bawah 10,000 kaki di wilayah atau ruang udara Haiti.

Agensi itu berkata larangan berkenaan disebabkan “risiko keselamatan penerbangan yang dikaitkan dengan ketidakstabilan keselamatan yang berterusan” di bahagian Haiti di pulau Hispaniola, yang tahun ini dilanda keganasan kumpulan jenayah.

Pengecualian akan dibuat hanya untuk penerbangan kecemasan yang dibenarkan oleh kerajaan AS dengan kelulusan FAA.

Pada Isnin, sebuah pesawat JetBlue dan Spirit Airlines penerbangan 951 dilaporkan terkena tembakan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Toussaint Louverture di ibu kota Haiti, Port-au-Prince.

Seorang kru penerbangan Spirit Airlines dilaporkan cedera ringan. Pesawat itu telah dilencongkan ke Republik Dominika di Santiago sekitar 11.30 pagi waktu tempatan.

Insiden itu berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Haiti Garry Conille dipecat daripada jawatannya.

Ahli perniagaan Alix Didier Fils-Aime akan menggantikan Conille sebagai perdana menteri.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini