comscore
Tumpuan :
Dunia

Freedom Flotilla: Pemimpin dunia diminta tampil beri sokongan jayakan misi

 

FOTO: Agensi

ISTANBUL: Pemimpin dunia digesa tampil menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi “Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla”.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC) Ann Wright, sokongan dan kerjasama pemimpin dunia penting dalam memastikan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk di Gaza dapat dihentikan segera.

Malah katanya dengan penyatuan kesemua pemimpin dunia, ia dilihat mampu mendesak kepada satu usaha jitu dalam menjayakan gencatan senjata yang berkekalan bagi membolehkan segala keperluan penyaluran bantuan ke Gaza dapat direncanakan sebaiknya.

“Saya menyeru kepada pemimpin seluruh dunia untuk sama-sama tampil dan membantu dalam usaha menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, membantu mereka yang memerlukan di sana seterusnya menyokong misi yang kami jayakan ini.

“Satu usaha menjayakan gencatan senjata mesti direncanakan dan hanya dengan penyatuan pemimpin dunia akan mampu menoktahkan kekejaman berterusan ini.

“Apa sahaja usaha perlu dilakukan termasuk melakukan sekatan ekonomi kepada pihak rejim, mengasingkan mereka (Israel) dalam apa jua bentuk diplomatik serta melakukan apa sahaja yang boleh untuk menghentikan kezaliman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mesyuarat harian hari ini.

Wright yang juga merupakan warga Amerika Syarikat (AS) pada masa sama turut mengutuk keras tindakan pimpinan negaranya yang terus menerus menjadi rakan sekutu Israel selain terus ‘menghalalkan’ segala bentuk kekejaman dan kezaliman yang dilakukan rejim Zionis di Gaza.

“Saya sebagai rakyat Amerika Syarikat merasakan apa yang dilakukan oleh pimpinan negara kami sebagai sesuatu yang amat dahsyat.

“Mereka terus bersekongkol dengan pembunuhan beramai-ramai kerana telah beberapa kali sebelum ini mereka (AS) menggunakan kuasa veto, segala keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dalam usaha mengerahkan gencatan senjata di Gaza.

“Malah negara saya juga membekalkan dana kepada Israel untuk membeli senjata dalam menjayakan misi mereka di Gaza.

“Untuk itu, tiada cara lain selain menggesa kesemua pemimpin dari seluruh dunia untuk bertindak melakukan apa sahaja yang perlu dalam menghentikan semua kezaliman ini,” tambahnya lagi.

Antara lain, Wright juga menyatakan kekecewaannya terhadap Presiden AS Joe Biden yang terus menerus membenarkan kekerasan dan kezaliman ini berlaku secara konsisten.

“Kita tahu Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat akan berlangsung pada November tahun ini.

“Ramai dalam kalangan rakyat di AS tidak berpihak kepada polisi Biden terhadap isu di Gaza dan pastinya ini akan menyebabkan dia akan kehilangan lebih banyak undi dan saya juga tidak akan sesekali mengundi Biden.

“Saya tidak percaya bahawa dia terus bersekongkol dan membenarkan segala bentuk kejahatan terus menerus berlaku di Gaza dan pastinya Israel berdepan risiko lebih besar sekiranya Biden kalah dalam pemilihan presiden disebabkan isu ini,” ujarnya.

Pada Mac lepas, Joe Biden, 81, dan saingannya, bekas presiden, Donald Trump masing-masing mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan parti mereka untuk dipilih sebagai calon Pilihan Raya Presiden AS 2024.

Warga Malaysia ketika ini turut menyertai masyarakat awam antarabangsa melakukan pelayaran menaiki flotila untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.
Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV Mohammad Nulhakim Jailan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini