
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin akan menyumbang gaji dan elaun bulanan sepanjang menerajui pentadbiran negara kepada pelbagai badan amal dan yayasan bagi membantu golongan memerlukan.
Jurucakap kerajaan Chai Wacharonke berkata, Srettha yang juga Menteri Kewangan menerima sejumlah 125,590 baht (termasuk gaji 75,590 baht dan elaun jawatan 50,000 baht) sebulan.
Ujarnya, pemimpin berkenaan percaya mengenai kelebihan menderma. Oleh itu, beliau bercadang untuk memulakannya sendiri.
Menurut Chai, derma pertama akan disalurkan kepada Yayasan untuk Kanak-kanak.
Yayasan untuk Kanak-kanak ialah organisasi yang berfungsi untuk melindungi hak, pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak, selain membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan gelandangan.
Justeru, satu kumpulan gerak kerja akan dibentuk untuk memilih penerima.
Sebelum menceburi arena politik awal tahun ini, Srettha, 61 tahun, pernah menjadi presiden dan ketua eksekutif syarikat hartanah utama, Thailand Sansiri Plc.
Bangkok Post melaporkan, Srettha telah memindahkan 661,002,734 sahamnya dalam syarikat itu kepada anak perempuannya Chananda Thavisin pada Mac tahun ini.
Saham itu dilaporkan bernilai 1.24 bilion baht.