comscore
Tumpuan :
Dunia

Ganja disenarai semula Thailand sebagai narkotik

Sebuah bas melintasi papantanda neon kedai kanabis di Bangkok, Thailand. – FOTO: Reuters

BANGKOK: Thailand mengambil langkah untuk mengklasifikasikan semula ganja dan hemp sebagai narkotik selepas jawatankuasa yang ditugaskan mengawal dadah haram bersetuju bahawa ia tidak boleh digunakan secara riadah, lapor Bangkok Post.

Semua ahli jawatankuasa itu bersetuju dengan prinsip bahawa ganja harus digunakan hanya untuk rawatan perubatan, kata laporan itu, memetik Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Surachoke Tangwiwat.

Majoriti bersetuju untuk meletakkan ganja dan hemp kembali dalam senarai narkotik, tambah akhbar itu.

Jawatankuasa itu akan menyerahkan laporannya kepada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik minggu depan.

Susulan kelulusan daripada agensi itu, jawatankuasa kemudian akan menggesa Pentadbiran Makanan dan Dadah untuk meminda undang-undang berkaitan ganja dan menyediakan kriteria mengenai penggunaan tumbuhan itu.

Peraturan baharu itu dirancang untuk berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

Beribu-ribu dispensari ganja dan perniagaan lain yang berkaitan dibuka di seluruh Thailand sejak ia menjadi negara pertama di Asia yang tidak lagi mengharamkan ganja pada 2022.

Terdahulu pada 2024, Perdana Menteri, Srettha Thavisin mengarahkan pegawai mengambil langkah untuk menyekat penggunaan ganja hanya untuk tujuan perubatan.

Kumpulan dan perniagaan advokasi ganja menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar pusingan U itu, mengadakan perhimpunan dan mengancam memfailkan cabaran undang-undang terhadap perdana menteri. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini