comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Gaza semakin tenat – Nurul Ain

KUALA LUMPUR: Hari ini masuk hari ke-28 sejak Israel menyerang Gaza tanpa henti dan keadaan semakin tegang selepas perang tercetus pada 7 Oktober lalu.

Setiap hari Nurul Ain Haron, 37, akan menjamah hidangan Taboon, sejenis roti nipis yang merupakan makanan tradisi masyarakat di Gaza, Palestin.

Nurul Ain bersama kanak-kanak di sekitar Khan Yunis, Gaza.

“Masih tiada bekalan elektrik. Tiada air, air masin kami teguk. Apa yang boleh saya gambarkan ialah Gaza tenat.

“(Akibat) kekurangan bekalan ubatan, empat orang pesakit kanser yang saya kenali meninggal dunia. Ada mangsa pengeboman terpaksa jalani pembedahan potong kaki di koridor hospital tanpa sebarang bius, rumah ranap namun di mulut mereka masih mengucapkan Alhamdulillah,” kata Ain ketika dihubungi awal pagi tadi.

Nurul Ain bersama suaminya Mohamed Adan Shaat, 33, akan mengagihkan bantuan makanan dan selimut selepas solat Zohor di sekitar Khan Yunis, Gaza.

Tambah wanita cekal itu, ramai penduduk tempatan terpaksa tidur di tepi jalan namun masih bersyukur.

“Mereka terpaksa pecah masuk pasar raya kerana kelaparan. Bagi yang menumpang di sekolah, mereka juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran bom tentera Israel, malah pesakit di hospital juga turut menjadi mangsa menjadikan tiada tempat selamat lagi di Gaza,” katanya.

Berkongsi kisah dengan BH, Nurul Ain berkata sudah menjadi rutin hariannya untuk bersiap setiap pagi ke bank terdekat untuk mengeluarkan wang sumbangan rakan, saudara-mara dan rakyat Malaysia.

“Pagi saya keluar pergi bank selepas itu terus ke pusat pemborong untuk beli barangan bantuan sebelum pulang untuk solat Zohor,” katanya sambil menambah bekalan bantuan sudah mula tiba di Gaza namun masih tidak mencukupi.

Nurul Ain bersama suaminya Mohamed Adan Shaat, 33, akan mengagihkan bantuan makanan dan selimut selepas solat Zuhur di sekitar Khan Yunis.

Nurul Ain bersama suaminya Mohamed Adan Shaat naik kereta kaldai untuk agih bantuan makanan dan selimut di sekitar Khan Yunis, Gaza.

Nurul Ain yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, setakat ini beliau dan suami sudah mengagihkan lebih 500 pek makanan dan keperluan asas lain.

“Alhamdulillah terima kasih untuk segalanya. Terima kasih sangat juga kepada semua yang berkongsi rezeki kepada mereka. Semoga ALLAH SWT membalas segala kebaikan anda semua.

“Terus berdoa untuk kami semua dan diharap ada keajaiban gencatan senjata nanti, kami disini tidak ada senjata untuk melawan musuh tetapi doa seluruh umat Islam di dunia menjadi kekuatan kami di sini.” katanya.

Loading...
Terkini