comscore
Tumpuan :
Dunia

Gempa Bumi: Angka korban meningkat lebih 500 di Turkiye, Syria

Foto AP

ANKARA/IDLIB: Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang menggegarkan selatan Turkiye pagi Isnin telah meragut lebih 500 nyawa di negara itu dan Syria.

Menurut Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay, sekurang-kurangnya 284 orang terbunuh manakala 2,323 yang lain cedera serta 1,710 bangunan musnah di negara itu setakat ini, lapor Agensi Anadolu.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan disusuli 78 gegaran susulan.

Wilayah Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakır, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis terjejas teruk akibat gempa itu.

“Presiden (Recep Tayyip Erdogan) telah mengikuti dan menguruskan bencana itu sejak kejadian gempa bumi berlaku,” kata Oktay.

Beliau menambah bahawa Lapangan Terbang Hatay termasuk Kahramanmaras dan Gaziantep kini ditutup untuk penerbangan awam.

Turkiye telah mengeluarkan amaran gempa bumi tahap empat termasuk mengalu-alukan bantuan antarabangsa, menurut AFAD dalam satu kenyataan.

“Tawaran bantuan diterima dari banyak negara, terutamanya Belanda, Azerbaijan dan United Kingdom,” menurut kenyataan itu.

Selain pasukan penyelamat, selimut, makanan dan pasukan sokongan psikologi turut dihantar ke wilayah itu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 237 orang terbunuh manakala 639 yang lain cedera di Syria berikutan kejadian gempa bumi itu.

Gegaran kuat dilaporkan melanda wilayah Idlib, Aleppo, Hama, Latakia, dan Raqqa di Syria, lapor Agensi Anadolu memetik agensi berita SANA.

— BERNAMA

Loading...
Terkini