comscore
Tumpuan :
Dunia

Gempa bumi magnitud 6 gegar timur laut Jepun, tiada amaran tsunami

Kawasan timur laut Jepun digegarkan gempa bumi magnitud enam pada skala Richter tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan. – Foto AGENSI

TOKYO: Gempi bumi berukuran magnitud enam melanda wilayah Fukushima di timur laut Jepun hari ini, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan, lapor Agensi Meteorologi Jepun.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan selepas gegaran itu berlaku, yang pusat gempa dieksan pada kedalaman 40 kilometer (km) dan gegaran turut dirasai di Tokyo.

TEPCO, pengendali loji kuasa nuklear Fukushima berkata, tiada perubahan luar biasa dikesan di loji yang terjejas atau lain-lain kawasan di rantau itu.

Jepun adalah salah sebuah wilayah yang paling aktif secara tektonik di dunia, mempunyai piawaian bangunan yang ketat dan direka untuk memastikan struktur boleh bertahan walaupun dilanda gempa bumi paling kuat.

Negara kepulauan yang menempatkan kira-kira 135 juta penduduk itu mengalami sekitar 1,500 gegaran setiap tahun, yang sebahagian besarnya adalah tidak terlalu kuat.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) merekodkan kekuatan gempa yang berlaku semalam berukuran magnitud 6.1, pada kedalaman 40.1km.

Gegaran itu berlaku sehari selepas sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera akibat gempa bumi kuat di Taiwan.

Gempa bumi magnitud 7.4 di Taiwan kelmarin, merosakkan puluhan bangunan sehingga mendorong amaran tsunami sehingga ke Jepun dan Filipina.

Gempa bumi terkuat pernah direkodkan di Jepun pada Mac 2011 dengan magnitud sembilan berlaku hasil gegaran dasar laut dekat luar pantai timur laut Jepun, sehingga mencetuskan tsunami yang menyebabkan kira-kira 18,500 orang mati atau hilang.

Bencana terburuk di Jepun itu juga menyebabkan tiga reaktor runtuh di loji nuklear Fukushima, mencetuskan kemalangan nuklear paling serius sejak tragedi Chernobyl.

Jumlah kos dianggarkan menelan belanja AS$112 bilion (RM530.9 bilion) , tidak termasuk penyahaktifan berbahaya kemudahan Fukushima, yang dijangka mengambil masa beberapa dekad. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini