Tumpuan :
Dunia

Gencatan senjata di Gaza: Israel tangguh undian kabinet, tuduh Hamas ‘mungkiri janji’

Foto: Reuters

DOHA: Israel menangguhkan undian kabinet mengenai perjanjian gencatan senjata di Gaza yang sepatutnya berlangsung selewat-lewatnya hari ini.

Jurucakap Israel, David Mencer berkata, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menuding jari terhadap pertikaian saat-saat akhir dengan Hamas, menyebabkan kelewatan proses berkenaan.

“Malah, pada malam tadi, Perdana Menteri (Benjamin Netanyahu) dengan tegas menekankan bahawa Hamas mesti menarik balik tuntutan saat akhir mereka untuk mengubah penempatan pasukan IDF di koridor Philadelphi, kawasan yang sangat penting dan kritikal untuk menghentikan penyeludupan senjata kepada Hamas,” katanya.

Pejabat Netanyahu menuduh Hamas ‘memungkiri janji’ pada sebahagian daripada perjanjian bagi mendapatkan konsesi tambahan, namun tidak menyatakan secara jelas mengenai dakwaan berkenaan.

Dengan perpecahan yang ketara dalam kalangan menteri, Israel menangguhkan mesyuarat yang dijangka pada hari Khamis untuk undian Kabinet mengenai perjanjian itu.

Media Israel melaporkan undian mungkin berlaku pada hari Jumaat atau Sabtu dan perjanjian itu dijangka diluluskan.

Hamas, menerusi pegawai kanannya, Izzat Al-Rishq, bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan pihaknya komited terhadap perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan perang di Gaza, yang sepatutnya berkuat kuasa Ahad ini.

Sementara itu di Gaza, pesawat tempur Israel terus melancarkan serangan dan pihak berkuasa Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh pada Khamis selepas gencatan senjata diumumkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini