comscore
Tumpuan :
Dunia

Gereja lama dijadikan masjid di Istanbul 

ANKARA: Turkiye menukar fungsi sebuah gereja lama Ortodoks Byzantine kepada sebuah masjid di Istanbul.

Sebelum ini keputusan pentadbiran Turkiye itu mendapat tentangan daripada Greece.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, pada Isnin, mengesahkan mengenai pembukaan semula itu selepas beliau mengadakan perbincangan mengenainya dalam pertemuan di Ankara dengan Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis.

“Masjid Kariye dalam bentuk baharunya akan kekal terbuka kepada semua orang.

“Kami membuka Masjid Kariye untuk ibadat dan lawatan selepas kerja-kerja pemulihan yang bersungguh-sungguh,” kata Erdogan pada sidang akhbar bersama pemimpin Greece itu.

Mitsotakis merayu terhadap penukaran status Holy Saviour in Chora itu yang masih dihargai oleh orang Kristian.

Beliau mengadu kepada Erdogan mengenai langkah terbaru itu.

“Saya berbincang dengan Erdogan mengenai penukaran (status bangunan itu)… Saya meluahkan rasa tidak puas hati saya kepadanya,” kata Perdana Menteri Greece itu selepas bertemu dengan Erdogan.

Gereja itu diubah menjadi Masjid Kariye setengah abad selepas penaklukan Konstantinopel pada 1453 oleh Empayar Uthmaniyyah.

Ia menjadi Muzium Kariye selepas Perang Dunia II, apabila Turkiye berusaha untuk mewujudkan sebuah republik yang lebih sekular berbanding Empayar Uthmaniyyah.

Erdogan pada 2020 mengarahkan bangunan itu diubah semula menjadi tempat ibadat umat Islam. – Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini