
VALLEDUPAR, Colombia: Kumpulan gerila Colombia, ELN akhirnya membebaskan bapa pemain bola sepak Liverpool, Luis Diaz awal pagi tadi, sekaligus menamatkan pengalaman pahit penculikan selama 12 hari dan disambut penuh gembira di kampung halamannya.
Selepas beberapa hari rundingan bagi pembebasan itu, pemberontak menyerahkan Luis Manuel Diaz kepada pekerja kemanusiaan di lokasi yang tidak didedahkan di banjaran gunung Serrania del Perija bersempadan dengan Venezuela.
Manuel Diaz dan penjaganya kemudian menaiki helikopter ke bandar timur laut Valledupar, kira-kira 90 kilometer dari kampung halamannya di Barrancas di utara wilayah La Guajira – tempat beliau diculik pada 28 Oktober lalu.
Ketika keluar dari helikopter, Diaz berjalan perlahan-lahan dan melambai-lambai ke arah wartawan dari jauh.
“Hidup Kebebasan dan Keamanan,” tulis Presiden Gustavo Petro di laman X.
Aracelys Diaz, adik perempuan Manuel Diaz yang dibebaskan itu, memberitahu wartawan keluarga mereka “gembira” walaupun agak bimbang mengenai keadaannya.
“Beliau tidak seperti yang kami mahukan, tetapi beliau baik-baik saja. Beliau masih hidup,” katanya.
Saudara-mara pemain bola sepak itu dan bapanya berpelukan penuh sebak di Barrancas ketika berita pembebasannya tersebar yang mana mereka berkumpul untuk mengikuti peristiwa itu.
Manuel Diaz dan isterinya Cilenis Marulanda diculik oleh lelaki bersenjata bermotosikal di sebuah stesen minyak di bandar kelahiran mereka hampir dua minggu lalu.
Marulanda diselamatkan beberapa jam kemudian dan operasi mencari besar-besaran melalui darat dan udara dilancarkan terhadap suaminya, dengan lebih 250 tentera terbabit.
Tentera darat mengundurkan tenteranya Isnin lalu susulan syarat yang ditetapkan oleh ELN bagi pembebasan Manuel Diaz.
“Ia bukanlah satu operasi yang mudah… Beberapa syarat perlu dipenuhi dan sudah tentu setiap jam yang berlalu menyebabkan kesedihan,” kata wakil kerajaan Ivan Cepeda kepada Caracol Television. – AGENSI
|ARTIKEL BERKAITAN