JAKARTA: Bekas penyanyi kumpulan popular Indonesia, Nidji, Giring Ganesha secara rasmi diumumkan sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan dalam Kabinet Merah Putih di bawah pemerintahan Presiden Prabowo Subianto.
Pengumuman tersebut disampaikan oleh Presiden Prabowo Subianto pada malam Ahad di Istana Merdeka.
Giring akan berkhidmat bersama Fadli Zon yang diumum sebagai Menteri Kebudayaan.
Sebelum terjun ke dunia politik, Giring terkenal sebagai vokalis Nidji yang popular dengan lagu-lagu hits seperti ‘Hapus Aku’ dan ‘Laskar Pelangi’, yang menjadi lagu runut filem dengan judul yang sama pada tahun 2008.
Bagaimanapun, Giring membuat kejutan apabila memutuskan untuk meninggalkan kumpulan yang membawa namanya dikenali ramai pada tahun 2017 itu.
Pada waktu itu, Giring menyatakan bahawa beliau hanya ingin berehat dan melanjutkan pengajiannya.
Kumpulan itu telah meraih pelbagai penghargaan termasuk Most Favourite New Artist di MTV Indonesia Awards 2006, Album Rock Terbaik di AMI Awards 2008 dan Karya Produksi Original Soundtrack Film Terbaik di AMI Awards 2014 serta banyak lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.