comscore
Tumpuan :
Dunia

Google pertimbang untuk kenakan bayaran enjin carian AI

SAN FRANCISCO: Google bercadang untuk mengenakan bayaran bagi ciri premium pada enjin cariannya menggunakan kecederasan buatan (AI).

Memetik laporan Financial Times semalam, keputusan syarikat dimiliki Alphabet dibuat selepas melihat pelbagai pilihan termasuk memasukkan ciri carian ‘berkuasa’ AI bagi perkhidmatan langganan premiumnya, sudah pun menyediakan akses kepada chatbot Gemini AI dalam Gmail dan Docs.

Saham Alphabet merosot kira-kira satu peratus dalam perdagangan lanjutan, menyusuli pengumuman keputusan itu.

Langkah terbabit menandakan kali pertama Google meletakkan mana-mana produk terasnya di belakang paywall, merujuk sistem yang menghalang pengguna Internet daripada mengakses kandungan laman sesawang tanpa langganan berbayar.

Tindakan itu diambil kerana Google berusaha untuk mendapatkan tempat dalam ekosistem AI yang sedang bergerak pantas.

Tambah laporan itu, enjin carian tradisional Google akan kekal percuma dan iklan akan terus muncul bersama hasil carian walaupun untuk pelanggan berbayar.

“Kami tidak mengusahakan atau mempertimbangkan pengalaman carian dalam talian tanpa iklan.

“Seperti yang dilakukan berkali-kali sebelum ini, kami akan terus membina keupayaan dan perkhidmatan premium baharu untuk meningkatkan tawaran langganan kami merentasi Google,” kata syarikat itu dalam kenyataan melalui e-mel kepada Reuters.

Google, yang mencipta teknologi asas untuk ledakan AI hari ini, juga bersaing dalam ‘pertempuran’ dengan dua pemain industri iaitu OpenAI selaku pencipta ChatGPT dan Microsoft. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini