
NUUK: Greenland menegaskan terbuka untuk memperkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) merangkumi pertahanan dan perlombongan.
Bagaimanapun, Perdana Menterinya Mute Egede hubungan yang dibentuk itu perlu berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh negaranya sendiri.
Ia rentetan daripada hasrat Presiden terpilih AS, Donald Trump yang ingin memiliki negara itu.
“Kerajaan Greenland terbuka untuk bekerjasama dengan AS dan bersedia memulakan dialog dengan pentadbiran Trump, namun keputusan tentang hala tuju kerjasama akan ditentukan oleh Greenland sendiri
“Keputusan tentang kemerdekaan Greenland juga adalah urusan Greenland, termasuk penggunaan tanahnya. Maka, Greenland yang akan memutuskan perjanjian apa yang wajar dibuat,” katanya.
Egede juga memanggil pemimpin parti politik di Greenland untuk berbincang bersama bagi merangka pendekatan kolektif terhadap minat yang ditunjukkan AS.
“Ini kali pertama Greenland diberi perhatian secara intensif. Kita perlu bertenang, mengambil peluang ini dan bersatu,” ujarnya.
Sementara itu, meskipun Trump tidak menolak penggunaan langkah ketenteraan atau ekonomi untuk menguasai Greenland, Naib Presiden AS yang bakal dilantik, JD Vance, pada Ahad lalu menolak kemungkinan penggunaan kekerasan, sebaliknya menekankan kepentingan strategik dan sumber semula jadi Greenland.
Pada awal Januari, Trump mengulangi hasratnya untuk memperoleh Greenland yang telah menjadi sebahagian daripada Denmark selama lebih 600 tahun. Bekas Presiden AS itu menyifatkan pulau Artik berkenaan adalah kritikal untuk keselamatan negara dan ekonomi AS.
Denmark, sekutu lama AS, dengan tegas menyatakan bahawa Greenland tidak akan dijual dan hak milik pulau itu adalah milik penduduknya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.