OSLO: Nihon Hidankyo, sebuah organisasi disertai mangsa bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2024.
Ia sebagai penghargaan terhadap usaha mereka memperjuangkan dunia bebas senjata nuklear.
Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway, Joergen Watne Frydnes berkata penghormatan tersebut diberikan kepada Hibakusha (mangsa bom atom) kerana usahanya memberi kesedaran tentang impak dan kesan bahaya daripada senjata nuklear.
“Hibakusha membantu kita memahami kesakitan dan penderitaan yang tidak terungkap yang disebabkan senjata nuklear. Usaha mereka yang luar biasa telah menyumbang besar kepada pengukuhan larangan terhadap penggunaan senjata nuklear,” katanya.
Frydnes turut menekankan pentingnya larangan penggunaan senjata nuklear yang kini diancam oleh kuasa nuklear yang lebih berevolusi.
Beliau juga berharap para pemimpin dunia akan mendengar kisah dan perjuangan Hibakusha sebagai peringatan bahawa senjata ini tidak patut digunakan lagi.
Hadiah Nobel Keamanan 2024 itu menandakan kali kedua penerima dari Jepun menerima pengiktirafan tersebut dalam sejarah 123 tahun anugerah itu.
Hadiah bernilai kira-kira AS$1.06 juta itu akan disampaikan di Oslo pada 10 Disember, sebagai memperingati ulang tahun kematian Alfred Nobel.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.