comscore
Tumpuan :
Dunia

Hakim arah FIFA, UEFA tidak halang Liga Super Eropah

Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) didakwa melanggar undang-undang Kesatuan Eropah. – Foto AGENSI

MADRID: Hakim mahkamah Sepanyol mengarahkan badan induk bola sepak dunia dan Eropah, FIFA dan UEFA, menghentikan halangan mereka terhadap cadangan untuk satu lagi kejohanan Eropah, Liga Super Eropah (ESL).

Hakim Sofia Gil Garcia menganggap kedua-dua badan induk bola sepak itu menggunakan kuasa dan kedudukan mereka serta melanggar undang-undang Kesatuan Eropah dengan menghalang kelab-kelab daripada bertanding di dalam ESL.

Gil Garcia turut mengarahkan FIFA dan UEFA membatalkan sebarang keputusan yang tidak selari dengan semangat kesukanan sebelum ini.

Kes berkenaan dibawa oleh A22 Sports Management, syarikat pembangunan sukan yang menubuhkan ESL, terhadap Persekutuan Bolasepak Sepanyol, LaLiga, UEFA dan FIFA, yang menghalang penubuhan ESL.

“Era monopoli kini sudah berakhir,” kata Ketua Pegawai Eksekutif A22, Bernd Reichart.

Keputusan Gil Garcia senada dengan keputusan oleh Mahkamah Eropah pada Disember lalu.

Bagaimanapun La Liga dan UEFA menegaskan, keputusan berkenaan tidak menjurus kepada sokongan terhadap penubuhan ESL.

“Penghakiman tidak memberikan hak kepada pihak ketiga untuk membangunkan pertandingan tanpa pengiktirafan dan tidak meliputi sebarang projek akan datang atau versi baharu projek yang ada sekarang,” kata UEFA.

Cadangan penubuhan ESL oleh 12 kelab terkemuka Eropah pada tahun 2021 itu mencetus bantahan peminat dan ancaman penggantungan oleh UEFA, dengan sembilan kelab menarik diri serta-merta.

Real Madrid, Barcelona, Juventus dan sembilan kelab Eropah lain mengumumkan cadangan itu pada April, 2021.

Ia hanya bertahan 48 jam selepas bantahan peminat memaksa Manchester United, Liverpool, Manchester City, Chelsea, Tottenham Hotspur, Arsenal, AC Milan, Inter Milan dan Atletico Madrid menarik diri. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini