comscore
Tumpuan :
Dunia

Hamas beri komitmen dan fleksibiliti untuk gencatan senjata, Israel masih angkuh

Foto: Reuters

DUBAI: Usaha ke arah mencapai gencatan senjata di Gaza akan diteruskan meskipun tanpa kehadiran Israel dalam pusingan terbaharu rundingan di Kaherah.

Hamas dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil langkah perlu dengan menunjukkan fleksibiliti bagi mencapai kesepakatan gencatan senjata menyeluruh terhadap pencerobohan ke atas rakyat Palestin.

Namun, Israel masih mengelak daripada hak perjanjian ini.

Perunding dari Hamas, Qatar dan Mesir berada di Kaherah untuk cuba mendapatkan gencatan senjata selama 40 hari dalam perang antara Israel menjelang bulan Ramadan, yang bermula minggu depan.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata keputusan terletak di tangan Hamas sama ada mahu menerima perjanjian untuk gencatan senjata di Gaza sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan Israel.

Perjanjian yang dibentangkan kepada Hamas akan membebaskan beberapa tebusan yang ditangkap oleh pejuang Palestin, manakala bantuan kepada Gaza ditingkatkan bagi mengelak kebuluran.

Pembebasan tebusan yang sakit, cedera, warga emas dan wanita akan membolehkan gencatan senjata serta-merta di Gaza sekurang-kurangnya untuk enam minggu.

Perkara itu ditegaskan oleh Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan dan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, semalam.

Terdahulu di Beirut, pegawai Hamas Osama Hamdan mengulangi tuntutan utama kumpulannya iaitu menamatkan serangan tentera Israel, pengunduran tentera Israel, dan pemulangan semua rakyat Gaza ke rumah yang ditinggalkan.

Ujarnya, sebarang pertukaran banduan tidak boleh berlaku kecuali selepas gencatan senjata.

Bagaimanapun, masih dengan rasa angkuh, Israel menegaskan tidak akan menamatkan konflik sebelum Hamas dihapuskan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini