comscore
Tumpuan :
Dunia

Hampir 200 terbunuh, 1,800 cedera di Sudan – PBB


KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh manakala 1,800 lagi cedera dalam pertempuran antara pihak tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di Sudan.

Pertempuran turut memusnahkan hospital dan menghentikan penghantaran bantuan.

Keadaan tegang kini disifatkan sukar dikawal, malah Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Sudan dilaporkan diserang di rumahnya sendiri.

Diplomat tertinggi EU, Josep Borrell, berkata keselamatan premis dan kakitangan diplomatik adalah tanggungjawab utama pihak berkuasa Sudan dan menjadi kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa.

Pertempuran turut berlaku di seluruh negara dan timbul kebimbangan mengenai limpahan serantau, baik dari segi keganasan atau krisis pelarian dan makanan.

Penduduk yang ketakutan menghabiskan hari-hari terakhir Ramadan dengan terkurung di rumah.

Penduduk terpaksa keluar untuk mendapatkan bekalan roti dan petrol di kedai yang masih dibuka, selain berdepan gangguan bekalan elektrik.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres sekali lagi menggesa pihak yang berperang di Sudan untuk ‘segera menghentikan permusuhan’.

Beliau memberi amaran pertempuran selanjutnya boleh memusnahkan negara dan rantau ini.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran beberapa hospital di Khartoum yang merawat orang awam yang cedera ‘telah kehabisan darah, peralatan pemindahan darah, cecair intravena dan bekalan penting lain.

Di wilayah barat Darfur, pertubuhan bantuan perubatan antarabangsa, ‘Doctors Without Borders’ (MSF) melaporkan menerima 136 pesakit yang cedera di satu-satunya hospital di El Fasher yang masih beroperasi di negeri Darfur Utara.

Agensi PBB dan rakan program kemanusiaan lain terpaksa menutup sementara lebih 250 program bantuan.

Usaha diplomatik yang giat dilakukan sejak Sabtu lalu belum menampakkan sebarang hasil bagi meredakan konflik.

Loading...
Terkini